PEKERJA KFC dan Pizza Hut mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir.
PEKERJA KFC dan Pizza Hut mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


Melahirkan simpati mereka, KFC dan Pizza Hut mengedarkan lebih 2,500 pek makanan KFC dan 1,600 keping piza bernilai lebih RM25,000 kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Keroh di Kuala Krai, Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubur 1 dan Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubur 2 di Tumpat, baru-baru ini.

Pengedaran makanan kepada mangsa banjir itu dilakukan sekumpulan pekerja KFC dan Pizza Hut dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat.

Pengarah Eksekutif, QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd, pengendali KFC dan Pizza Hut Malaysia, Mohamed Izaham Abdul Rani berkata, banjir antara bencana alam paling dahsyat yang boleh berlaku di mana saja tanpa mengira masa.

Katanya, pihaknya berasa amat bersimpati terhadap penduduk di kawasan pantai timur kerana terpaksa mengharungi dugaan itu.

"Selaku warga korporat yang prihatin, kami berasa turut bertanggungjawab kami untuk menghulurkan bantuan.

"Kami memahami kebimbangan dan tekanan yang dialami dan berharap sumbangan kecil ini dapat meringankan sedikit beban selain membawa senyuman di wajah mereka," katanya.

Bantuan makanan yang diedarkan kepada mangsa banjir Kelantan dijalankan di bawah Program Pengagihan Dana World Hunger Relief KFC & Pizza Hut yang dilancarkan pada 17 Disember lalu.

Pada masa sama KFC dan Pizza Hut turut menyerahkan bantuan makanan kepada anggota badan beruniform dan sukarelawan bertugas dalam bencana banjir berkenaan.

Sumbangan terbabit diserahkan oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Pengerusi QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim kepada Ketua Staf Markas Tentera Darat, Tentera Darat Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Mazelan Kasap, di Bangunan Pergerakan Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang.

Sejumlah makanan dari KFC dan Pizza Hut bernilai lebih RM30,000 dihantar kepada angota badan beruniform dan juga sukarelawan selama tujuh hari sepanjang operasi bantuan bencana banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 5:03 AM