KHALED (tiga dari kiri) dan Kamaruzzaman (tiga dari kanan) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penubuhan Al-Salam REIT.
KHALED (tiga dari kiri) dan Kamaruzzaman (tiga dari kanan) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penubuhan Al-Salam REIT.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi


Putrajaya: Johor Corporation (JCorp) menerusi Tabung Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) Islam dikenali sebagai Al-Salam REIT yang ditubuhkan secara rasmi semalam menyasarkan penambahan aset bernilai RM2 bilion dalam tempoh tiga tahun.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata sebagai permulaan, portfolio awal Al-Salam REIT akan merangkumi 31 aset bernilai kira-kira RM900 juta yang akan diambil alih daripada dua anak syarikat JCorp iaitu Damansara Assets Sdn Bhd (DASB) dan QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd (QSR).

Menurutnya, dalam tempoh 12 bulan selepas penubuhan Al-Salam REIT, sebanyak RM500 juta dana aset akan ditambah selaras dengan komitmen JCorp bagi merancakkan industri REIT Islam dan pasaran modal Islam.

“Antara aset utama DASB akan diambil alih oleh Al-Salam REIT ialah Menara KOMTAR, Pasaraya @mart, KFCH International College dan KOMTAR JBCC iaitu pusat beli-belah baru di Johor Bahru yang mempunyai penyewa terkenal.

“Selain itu, aset QSR adalah rangkaian restoran KFC dan Pizza Hut di seluruh negara dan aset industri terpilih,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penubuhan Al-Salam REIT antara dua anak syarikat JCorp iaitu DASB dan QSR dengan Amanah Raya Trustees Berhad (ART), semalam.

Perjanjian ditandatangani Naib Pengerusi DASB Lukman Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif ART Habsah Bakar dan Pengarah Eksekutif QSR Mohamed Izaham Abdul Rani.

Majlis disaksikan Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi JCorp Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya Berhad (ARB) Datuk Abd Rahman Md Khalid.

Pada masa sama, Kamaruzzaman berkata, Al-Salam REIT juga dijangka disenaraikan di pasaran utama Bursa Malaysia pada suku ketiga tahun ini manakala tawaran awam permulaan (IPO) dijangka ditawarkan kepada umum Jun ini.

Katanya, pihaknya menyasarkan pulangan Al-Salam REIT sebanyak 6.3 peratus kepada pelaburnya bagi tahun pertama.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, DASB dan QSR adalah vendor yang akan menjual aset kepada Al-Salam REIT manakala, ART adalah pemegang amanah kepada aset dimiliki Al-Salam REIT.

“Al-Salam REIT mendapat kelulusan penubuhannya daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 18 Februari lalu, manakala pada 30 Mac baru-baru ini, Al-Salam REIT berjaya ditubuhkan dengan pendaftaran Surat Ikatan Amanah kepada SC,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 8:18 AM