PENJAJA di Sarawak tahun lalu.
PENJAJA di Sarawak tahun lalu.
Norsyazwani Nasri


PENJAJA yang tidak berlesen, peniaga kecil dan pengusaha gerai makanan di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) boleh memohon permit bagi melayakkan mereka mendapat geran khas di bawah Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang 2.0 (BKSS 2.0).

Datuk Bandar MBKS, Datuk Wee Hong Seng berkata, permit terbabit boleh dipohon melalui Aplikasi QMunity yang boleh dimuat turun dari Apple Store atau Google Play Store atau Huawei Store atau borang permohonan permit yang boleh dimuat turun melalui laman web MBKS iaitu http://mbks.sarawak.gov.my.

“Ia juga boleh didapati di lobi, MBKS dari Isnin hingga Jumaat jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari. Semua permohonan mesti memenuhi garis panduan dan kriteria kelayakan untuk Bantuan Khas Sarawakku Sayang.

“Antara kriteria ialah pemohon mestilah warga Sarawak yang menetap dan berniaga di Sarawak, berumur 18 tahun ke atas dan pemohon mestilah peniaga yang pernah mengendalikan gerai sebelum 1 April,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kedai makan di dalam kedai kopi juga layak untuk memohon jika mereka memiliki semua dokumen yang diperlukan.

“Tempoh kebenaran permit ialah dari April hingga September. MBKS ingin menegaskan bahawa Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Sri Dr Sim Kui Hian menghentikan yuran permit sebanyak RM30 sebulan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Penjaja dan peniaga kecil yang layak yang belum mempunyai akaun Sarawak Pay, mesti memuat turun aplikasi Sarawak Play ke dalam telefon pintar mereka melalui Apple atau Google Play Store untuk menerima bantuan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, borang permohonan yang lengkap diisi hendaklah dihantar ke kotak yang dikhaskan di lobi MBKS dari Isnin hingga Jumaat, jam 9 pagi hingga 4 petang dan tarikh akhir permohonan permit ialah pada 31 Mei.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 4:12 PM