FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Individu yang ingin mendapatkan Permit Sementara Bermusim bagi bazar Ramadan tahun 2023 boleh mengemukakan permohonan yang dibuka sehingga 20 Februari tahun depan.

Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Ahmad Azrizal Tahir berkata, permohonan yang dibuka sejak 22 Disember lalu itu boleh dibuat menerusi portal https://elesen.mbpp.gov.my.

Katanya, pemohon diminta mengemuka dokumen lengkap supaya permohonan dapat diproses.

"Perkara penting ketika mengemuka permohonan adalah memberi nombor telefon atau emel bagi memudahkan pihak MBPP menghubungi individu berkenaan.

"Pemohon juga perlu mematuhi syarat ditetapkan antaranya, saiz gerai mengikut kelulusan MBPP; perlu mendapatkan suntikan tifoid sah tempoh bagi jualan makanan dan warga asing tidak dibenar memohon ataupun mengurus jualan," katanya di sini.

Antara syarat lain ialah peniaga perlu menyediakan tong sampah bertutup yang bersesuaian saiz; perlu memakai apron, topi dan sarung tangan semasa mengendalikan makanan; tidak menggunakan bekas polisterin dan tidak boleh meletakkan barang-barang jualan di sesiaran kaki gerai.

Mengulas lanjut Ahmad Azrizal berkata, jualan mercun dan bunga api tidak dibenarkan bagi permohonan permit itu.

"Peniaga juga disaran menggunakan transaksi tanpa tunai serta membawa bekas sendiri dalam usaha mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.

"Tindakan akan diambil terhadap mereka yang beroperasi tanpa kelulusan pihak MBPP," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2022 @ 1:14 PM