GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PERGERAKAN individu yang dibenarkan pulang ke bandar dari kampung halaman masing-masing akan diawasi sistem pengesanan lokasi (GPS).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, pengguna perlu memberi kebenaran kepada aplikasi itu untuk mengakses GPS.

"Ia bagi mengesahkan lokasi semasa pemohon, seterusnya membolehkan pergerakan diluluskan.

"Aplikasi Gerak Malaysia dapat membantu polis mengenal pasti jumlah individu yang bakal terbabit dan menyediakan jadual perjalanan bagi kelancaran operasi," katanya dalam satu kenyataan.

Huzir berkata, pemohon juga perlu mengemaskini pada hari yang dibenarkan berlepas supaya kod QR dapat dijana secara automatik.

"Dengan permit pergerakan dijana melalui kod QR dalam aplikasi telefon pintar, orang ramai hanya perlu menunjukkan kod itu ketika melalui sekatan jalan raya untuk diimbas oleh pihak berkuasa," katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, sehingga semalam, Huzir berkata, pihaknya menerima 300,000 permohonan menerusi aplikasi Gerak Malaysia dalam tempoh 12 jam ia dilancarkan.

Katanya, daripada jumlah berkenaan seramai 100,000 pemohon adalah untuk mendapatkan permit perjalanan rentas negeri.

"Mereka ini adalah yang terkandas di kampung halaman dan tidak sempat pulang ke rumah masing-masing ekoran pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"PDRM menjangkakan bahawa jumlah permohonan berkenaan akan meningkat berkali ganda menjelang 1 Mei ini," katanya.

Menurutnya, polis juga akan memastikan setiap permohonan diterima adalah untuk tujuan yang dibenarkan sahaja.

"Dalam tempoh ini, PDRM akan memantau dan menilai trend permohonan yang diterima melalui aplikasi Gerak Malaysia.

"Hasilnya akan diangkat maklum kepada pihak kerajaan supaya tarikh pergerakan yang diumumkan semalam dapat dikaji semula dan diselaraskan mengikut jumlah permohonan," katanya.

Aplikasi Gerak Malaysia boleh dimuat turut pengguna menerusi App Store bagi pengguna IOS dan Play Store bagi Android.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2020 @ 3:34 PM