PROFESOR Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi. FOTO ihsan UNIMAS
PROFESOR Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi. FOTO ihsan UNIMAS
Melvin Joni


KIRA-KIRA 3,100 pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang masih berada di kampus termasuk lebih 700 pelajar yang tinggal di sekitar kampus dijaga dengan baik.

Menurut Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, semua mereka yang tidak dapat balik berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah diberikan bantuan termasuk oleh kerajaan.

"Keselamatan dan kebajikan mereka menjadi keutamaan kami," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau juga berkata, kampus UNIMAS masih dalam kategori zon hijau walaupun berada di kawasan zon merah (Kota Samarahan).

Namun, katanya, kawalan pergerakan yang ketat tetap dilaksanakan oleh pengurusan universiti.

"Kami memahami cabaran dan kesukaran yang dihadapi oleh pelajar dan kami selalu menyedari akibatnya tetapi kami juga bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan serta keselamatan komuniti kampus kerana risikonya jauh lebih besar jika penularan Covid-19 tidak diambil berat," katanya.

Dalam pada itu, Kadim berkata, Pusat Kesihatan UNIMAS telah melihat perkhidmatan pakar yang disediakan oleh Pakar Perubatan Keluarga dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan untuk menyokong Pegawai Perubatan yang bertugas bagi memperkuat penjagaan kesihatan kepada pelajar.

Selain itu, katanya Unit Kaunseling, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) juga telah disokong oleh kaunselor berdaftar dari Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia serta Ahli Psikologi dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan untuk memberikan sokongan emosi yang lebih baik kepada pelajar yang memerlukan perkhidmatan berkenaan.

Di samping itu, Kadim berkata, aktiviti pengajaran dan pembelajaran telah diubah suai secara dalam talian, yang memenuhi kualiti dan standard seperti yang ditentukan oleh badan dan agensi yang berkenaan.

"Pengajaran dan pembelajaran bersemuka akan beralih ke pembelajaran dalam talian, untuk menyokong dan melengkapkan jangkaan penyambungan Semester Dua ada awal Jun," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 3:00 PM