UNIMAS. FOTO Ihsan UNIMAS
UNIMAS. FOTO Ihsan UNIMAS
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sesi akademik 2020/2021 bagi semua pelajar prasiswazah dan pascasiswazah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ditangguhkan berikutan peningkatan semula kes Covid-19 di negara ini.

Naib Canselor UNIMAS Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suadi berkata, tempoh penangguhan itu tidak ditetapkan dan sebarang maklumat baharu mengenainya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memperketatkan kemasukan warganegara dan bukan warganegara ke negeri ini berkuat kuasa Ahad ini.

"UNIMAS memutuskan kemasukan semua pelajar baharu dan semasa ditangguhkan serta-merta sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

"Kami menasihatkan semua pelajar yang berkaitan supaya menangguhkan perjalanan masuk ke kampus sehingga situasi penularan wabak Covid-19 terkawal dan bergantung kepada arahan dari semasa ke semasa yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan JPBN Sarawak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun katanya, pelajar yang sudah berada di kampus dibenarkan untuk berada di kampus, namun perlu sentiasa mengambil langkah pencegahan bagi mengelak penyebaran wabak Covid-19.

Katanya lagi, pendaftaran bagi semua pelajar baharu dan semasa bagi semester pertama sesi 2020/2021 akan dibuat secara dalam talian melalui laman web UNIMAS.

"Bagi pelajar baharu, Minggu Aluan Pelajar akan dilaksanakan pada 8 hingga 11 Oktober, manakala Majlis Ikrar Pelajar pula pada 11 Oktober dengan kedua-dua majlis itu akan dilaksanakan secara dalam talian," katanya.

Menurut Mohd Kadim lagi, pelajar semasa perlu menghubungi fakulti masing-masing berkaitan kaedah pengajaran dan pembelajaran.

"Pengajaran dan pembelajaran akan diadakan secara dalam talian bermula 12 Oktober, manakala kaedah secara bersemuka dimulakan pada 2 November ini.

"Bagi pelajar dari Semenanjung Malaysia yang masih ingin memasuki Sarawak, pelajar akan dikuarantin selama 14 hari di Pusat Kuarantin yang ditetapkan JPBN," katanya.

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung pergerakan balik ke kampus, pelajar boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelajar di talian 082-581921/082-581857/082-581858.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 10:01 AM