GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Melvin Joni


Kuching: Tiada syarat kuarantin akan dikenakan terhadap kira-kira 1,300 penuntut Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di negeri ini, begitu juga dari Semenanjung, dan Sabah yang dijangka kembali ke kampus pada Oktober nanti.

Penolong Naib Canselor (Kepimpinan dan Pembangunan) Unimas Profesor Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata, ia akan memudahkan pengaturan kemasukan penuntut, sekali gus membolehkan sesi kuliah yang dijadual bermula pada 11 Oktober berjalan lancar.

"Penuntut yang dibenarkan pulang boleh merancang perjalanan dan memaklumkan kepada pihak universiti supaya persiapan penginapan dan pengangkutan dapat disediakan dengan lebih awal bagi mengelakkan masalah kepada mereka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penuntut yang diberikan keutamaan memasuki kampus adalah tertakluk kepada beberapa kriteria termasuklah penuntut daripada kursus membabitkan keperluan khusus badan profesional yang mensyaratkan kuliah secara bersemuka seperti Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Alam Bina and Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia (Program Kaunseling).

Katanya, ia diikuti dengan penuntut dalam kalangan keluarga B40 dan penuntut yang berkeperluan dari segi kemudahan infrastruktur serta fasiliti seperti internet bagi memastikan kumpulan berkenaan dapat mengikuti pembelajaran dengan lebih kondusif dan tidak terganggu.

Dalam pada itu, katanya, Unimas juga akan menyelaras keperluan pengangkutan bagi membantu membawa penuntut masuk ke kampus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bagi memastikan pengawalan penularan Covid-19 dengan sebaiknya.

"Universiti akan sentiasa memantau dan memastikan tahap kesihatan penuntut yang diterima masuk berada dalam keadaan terbaik dari semasa ke semasa dengan berpandukan kepada garis panduan dalaman yang ditetapkan mengenai kaedah kawalan penularan Covid Unimas.

"Ia terutama bagi kes yang memerlukan pemantauan khusus seperti penuntut yang tidak dapat divaksinasikan atas alasan kesihatan dengan surat pengesahan daripada pakar perubatan," katanya.

Selain itu, beliau berkata, Unimas juga giat berusaha menyediakan kit ujian kendiri bagi memastikan penuntut bebas daripada jangkitan Covid-19 dan ia tertakluk kepada keperluan sebenar.

Pada masa sama, katanya, pelan kemasukan penuntut adalah tertakluk dan merujuk sepenuhnya kepada ketetapan dan arahan semasa oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang terkini, terutama dari segi keperluan vaksin dan ujian calitan.

"Ketetapan ini perlu diikuti kerana ia adalah keperluan asas yang ditetapkan sebelum pelajar terutama dari Labuan, Sabah dan Semenanjung masuk ke Sarawak dan seterusnya ke Unimas," katanya.

Mohd Fadzil berkata, kaedah pengajaran dan pembelajaran di Unimas akan kekal berkonsepkan pendekatan secara hibrid iaitu secara dalam talian dan bersemuka mengikut keperluan bagi memastikan tiada penuntut ketinggalan untuk meneruskan pengajian mereka pada semester ini.

"Umpamanya, jika kuliah hanya memerlukan kehadiran bersemuka bermula daripada minggu keenam kuliah, maka penuntut yang diluluskan untuk pulang bolehlah mula bergerak masuk ke kampus mulai minggu kelima tanpa perlu pulang seawal kampus dibuka kerana kuliah masih dapat diteruskan secara dalam talian," katanya.

Katanya, Unimas juga menyediakan kaedah permohonan bagi penuntutnya untuk kembali ke kampus menerusi permohonan dalam talian yang dibangunkan oleh Unimas sendiri yang dikenali sebagai entry.ia.unimas.my.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 6:06 PM