UNIVERSITI Malaysia Sarawak (Unimas)
UNIVERSITI Malaysia Sarawak (Unimas)
Melvin Joni

Kuching: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) mengumumkan cuti tempoh bertenang bermula esok sehingga 29 Disember ini susulan banjir yang melanda negara.

Naib Canselor Unimas, Datuk Mohamad Kadim Suaidi berkata, Unimas mengambil berat dan prihatin terhadap situasi pelajar Unimas yang terkesan oleh bencana banjir luar biasa, khususnya yang melanda beberapa negeri di Semenanjung.

"Berikutan kejadian banjir luar biasa yang menjejaskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di Unimas bagi Semester 1 sesi 2021/2022, pihak pengurusan Unimas mengumumkan semua kuliah ditangguhkan untuk tempoh bermula dari 22 hingga 29 Disember 2021," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihak pengurusan tertinggi Unimas juga menyediakan beberapa inisiatif seperti pelepasan khas (tempoh bertenang) bagi pelajar yang terkesan.

"Setiap pelajar yang terkesan haruslah memaklumkan kepada pensyarah atau dekan fakulti masing-masing.

"Selain itu, sepanjang tempoh penangguhan ini, tiada sebarang aktiviti kuliah, tutorial, pentaksiran, dan penghantaran tugas dilaksanakan," katanya.

Tambahnya, penghantaran tugasan atau penilaian berterusan juga dilanjutkan untuk tempoh satu minggu bermula dari tarikh yang ditetapkan sebelum ini.

"Pengurusan Tertinggi Unimas mendoakan semua pelajar Unimas yang terbabit dengan bencana banjir ini dipermudahkan segala urusan, diberikan kekuatan untuk menghadapi ujian serta dilindungi daripada sebarang musibah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 10:21 AM