TAN Lek Khang menyerahkan sumbangan kepada Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay di IPK Johor, Rabu lalu.
TAN Lek Khang menyerahkan sumbangan kepada Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay di IPK Johor, Rabu lalu.
Hazri A Bakar


PENGORBANAN anggota polis sebagai petugas barisan hadapan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sentiasa menyentuh hati masyarakat.

Tidak terkecuali Pertubuhan Kebajikan Jiwa Prihatin Kota Tinggi (PKJPKT) yang terpanggil untuk menyumbang kelengkapan perlindungan kesihatan bagi anggota dan pegawai Polis Johor yang melaksanakan tugas itu.

Pengerusi PKJKT, Tan Lek Khang berkata, penugasan pegawai dan anggota polis yang berpanas dan berhujan memastikan rakyat mematuhi PKP sangat dihargai.

"Sebagai sebuah NGO (pertubuhan bukan kerajaan), PKJKT menyokong usaha polis apatah lagi ketika kita semua duduk di rumah, mereka meninggalkan keluarga untuk melaksanakan undang-undang.

"Sumbangan seumpama ini bukan pertama kali kami lakukan kerana kami turut membantu golongan kurang berkemampuan di seluruh Johor sejak arahan PKP dikeluarkan," katanya.

PKJPKT menyumbang 20,000 penutup hidung dan mulut, 7,500 sarung tangan serta 120 botol cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) kepada Kontinjen Polis Johor kelmarin.

Sumbangan disampaikan kepada Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan turut dihadiri Timbalannya, Datuk Shafie Ismail dan Ketua Cawangan Khas Johor, Senior Asisten Komisioner Ahmad Ramdzan Daud.

Pertubuhan yang mempunyai lebih 50 ahli itu aktif dalam menjalankan aktiviti kebajikan di seluruh Johor termasuk membantu golongan gelandangan serta miskin di sekitar Johor.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 12:17 PM