Putrajaya: Orang awam dinasihatkan segera datang ke klinik berhampiran bagi membuat pemeriksaan dan rawatan awal sekiranya menghadapi masalah kesihatan seperti demam, ciri-birit dan muntah.

Nasihat berkenaan dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi kenyataan mengenai tindakan kementerian itu dalam menangani banjir yang melanda beberapa negeri di negara ini.

Pada masa sama, KKM juga menggalakkan mangsa banjir menggunakan pembersih tangan (hand sanitizer) bagi menjaga kebersihan diri terutama kawasan yang menghadapi masalah bekalan air bersih.

“Kita juga membekalkan pembersih tangan ke pusat pemindahan bagi kegunaan mangsa banjir terutamanya pengendali makanan.

“Selain itu, KKM juga memohon sumbangan pembersih tangan daripada syarikat atau individu bagi memastikan kesihatan orang awam terjejas banjir bebas daripadak kuman yang boleh menyebabkan penyakit,” katanya.

Sukarelawan yang melaksanakan kerja pembersihan di klinik kesihatan atau hospital terjejas banjir menggunakan alat perlindungan diri bersesuaian semasa menjalankan aktiviti berkenaan.

“Antaranya memakai kasut but dan sarung tangan getah serta baju lengan panjang dan berseluar panjang.

“Individu yang mempunyai masalah kulit atau luka tidak digalakkan terbabit dalam aktiviti pembersihan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 January 2015 @ 6:55 AM