RPOF Madya Dr Farahidah Mohamed menyumbangkan pembasmi kuman (hand sanitizer) kepada Timbalan Pengarah Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM Kuantan, Dr Hasbullah Mohamad. FOTO Mohd Rafi Mamat
RPOF Madya Dr Farahidah Mohamed menyumbangkan pembasmi kuman (hand sanitizer) kepada Timbalan Pengarah Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM Kuantan, Dr Hasbullah Mohamad. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


UJIAN makmal digerakkan IKOP Sdn Bhd mendapati banyak jenama pembasmi kuman (hand sanitizer) di pasaran mengandungi di bawah 20 peratus alkohol berbanding 70 peratus yang ditetapkan pihak berkuasa.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif IKOP Sdn Bhd, Prof Madya Dr Farahidah Mohamed berkata, kepekatan 'hand sanitizer' juga sepatutnya lebih 70 peratus, namun terdapat produk berkenaan yang tidak mencapai syarat ditetapkan itu.

Menurutnya, kini terdapat banyak jenama 'hand sanitizer' di pasaran tempatan yang menawarkan harga pelbagai peringkat, terpulang kepada pengguna untuk menilainya. Terdapat juga pihak menghasilkan sendiri bahan berkenaan bagi menjimatkan perbelanjaan.

"IKOP Sdn Bhd adalah anak syarikat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan yang menghasilkan 'hand sanitizer' jenama iHand mengandungi 70 peratus alkohol merupakan inovasi pensyarah dalam bidang perubatan dan mempunyai sijil halal.

"Produk pelbagai guna itu amat sesuai digunakan dalam usaha mengawal penularan virus Covid-19," katanya selepas majlis penyerahan iHand kepada Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM Kuantan, di sini kelmarin.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM Kuantan, Dr Hasbullah Mohamad.

Pada majlis berkenaan IKOP Sdn Bhd menyumbangkan sebanyak 6,000 mililiter (ml) iHand dalam bentuk botol kepada masjid berkenaan untuk kegunaan pegawai masjid dan jemaah.

Dr Farahidah berkata, sumbangan 'hand sanitizer' itu diharap dapat mencegah penularan wabak Covid-19 di masjid itu, setiap botol iHand diletakkan pada beberapa tiang utama dan dinding dalam masjid.

"Sumbangan berkenaan antara aktiviti tanggungjawab sosial korporat IKOP Sdn Bhd pada masyarakat dalam usaha menjamin tidak berlakunya penularan Covid-19 dalam kalangan pegawai masjid dan jemaah.

"Sebelum ini kita juga turut menyumbangkan iHand kepada beberapa pihak di daerah ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya.

Sementara itu Hasbullah berkata, pihaknya berharap jemaah masjid dapat menggunakan 'hand sanitizer' yang disediakan setiap kali datang ke masjid ini, kerjasama berkenaan mampu mencegah penularan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 3:02 PM