KELIHATAN petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memakai pakaian Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE). FOTO Asyraf Hamzah
KELIHATAN petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memakai pakaian Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE). FOTO Asyraf Hamzah
Yun Mikail


SEBANYAK 1,500 hingga 2,000 unit peralatan perlindungan diri (PPE) digunakan setiap hari di seluruh hospital negeri ini.

Jumlah berkenaan tidak termasuk kira-kira 3,000 unit sehari membabitkan penggunaan PPE di klinik kesihatan dan lapangan.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi berkata, bilangan itu dijangka semakin meningkat saban hari sejak tercetusnya penularan wabak Covid-19 di Sabah.

Beliau berkata, pihaknya sedia maklum mengenai kekurangan keperluan fasiliti kesihatan dan memahami situasi itu.

“Hal ini disebabkan penggunaan PPE adalah ‘standard precaution’ yang wajib diamalkan sebagai langkah mengurangkan risiko penyebaran penyakit berjangkit sama ada melalui udara, sentuhan, cecair atau darah.

“PPE tidak boleh dikongsi dan diguna pakai semula. PPE lengkap membabitkan perlindungan kepala, sarung tangan berlapis, alat pelindung pernafasan (N95 atau surgical mask), alat pelindung muka, gaun isolasi, apron plastik dan pelindung kasut,” katanya melalui kenyataan media, semalam.

Christina berkata berikutan jumlah penularan Covid-19 kian bertambah, PPE adalah barangan perubatan yang diperlukan setiap masa dan memerlukan bekalan berterusan.

Sementara itu, beliau menerusi kenyataan sama turut menyatakan terdapat satu kematian membabitkan pesakit Covid-19 dilaporkan oleh Hospital Keningau pada 4 April lalu.

“Ini adalah kematian yang kedua bagi Sabah selepas kes pertama berlaku di Tawau sebelum ini.

“Pesakit ialah seorang lelaki warga tempatan berusia 66 tahun yang berasal daripada Tambunan.

“Lelaki terbabit mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan kerosakan buah pinggang serta telah dirawat di Hospital Keningau sejak 26 Mac sebelum disahkan meninggal dunia pada Sabtu lalu sekitar 9.36 malam,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 9:59 AM