KAKITANGAN Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan menghasilkan 2,000
KAKITANGAN Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan menghasilkan 2,000
Mohd Rafi Mamat


UNIVERSITI Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan menghasilkan 2,000 peralatan perlindungan diri (PPE) berupa penutup kepala untuk

petugas kesihatan.

Ketua projeknya, Dr Siti Zainab Tauhed berkata, seramai 30 sukarelawan terdiri daripada kakitangan UIAM Kuantan

dan ahli Projek Beg Kitar Semula (IIUM Radiant Ecobag) bekerjasama menghasilkan PPE berkenaan selama lima hari.

Katanya, aktiviti menghasilkan penutup kepala berwarna biru muda itu dibahagikan kepada beberapa kumpulan seperti memotong, menjahit dan pemeriksaan akhir yang dilakukan di rumah sukarelawan dan bilik operasi di UIAM Kuantan.

“PPE yang sudah siap dikumpulkan Malaysia Relief Agency (MRA) ditempatkan di UIAM Kuantan sebelum diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) untuk diagihkan kepada hospital di negeri ini.

“Projek menghasilkan penutup kepala ini bertujuan membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutama JKNP yang berdepan kekurangan PPE susulan penggunaannya meningkat 10 kali ganda sejak Covid-19 melanda,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah Kanan, Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUMMC) berkata, walaupun tidak berpeluang bertugas di barisan hadapan, tetapi mereka tetap berbangga kerana dapat menghasilkan peralatan yang digunakan.

Sementara itu, sukarelawan, Asmawati Che Ismail, 34 berkata, dia berpuas hati dan berbangga dapat menabur bakti menghasilkan PPE untuk kegunaan petugas barisan hadapan.

“Pengorbanan yang saya berikan dianggap kecil berbanding tugasan mereka.

“Saya akan terus berusaha menyediakan lebih banyak penutup kepala selagi diperlukan demi keselamatan petugas barisan hadapan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 3:08 PM