Anggota Polis bersama anggota Tentera memeriksa kenderaan ketika sekatan jalan raya. FOTO NSTP
Anggota Polis bersama anggota Tentera memeriksa kenderaan ketika sekatan jalan raya. FOTO NSTP
Amir Abd Hamid


TAHAP pematuhan rakyat terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Kedua yang bermula 1 April lalu menampakkan peningkatan apabila semakin kurang kes ingkar yang ditahan .

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berdasarkan rekod harian dibentangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Mesyuarat Khas Menteri mendapati kes tangkapan akibat ingkar PKP semalam menurun 21.18 peratus berbanding hari sebelumnya.

Beliau berkata, seramai 413 individu ditahan kerana ingkar PKP semalam, dan statistik mendapati ia berkurangan berbanding 524 individu, kelmarin.

“Semalam, PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengadakan 731 sekatan jalan raya dan melakukan pemeriksaan terhadap 426,764 kenderaan.

“Dalam tempoh sama, sebanyak 26,202 pemeriksaan mengejut membabitkan 4,174 premis.

“Apa yang ingin saya jelaskan terdapat penurunan dari segi jumlah tangkapan. Saya harap trend ini berterusan,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, seramai 380 individu direman, 33 dijamin serta 362 individu dituduh di mahkamah.

Mengenai peratusan tahap kepatuhan PKP terkini, Ismail Sabri berkata, beliau belum mendapat statistik tepat daripada PDRM berhubung perkara itu hari ini.

Namun, beliau yakin ia semakin meningkat berbanding 97 peratus sebelum ini.

Untuk rekod, kerajaan melaksanakan PKP Fasa Pertama bermula 18 hingga 31 Mac sebelum dilanjutkan Fasa Kedua dari 1 hingga 14 April ini sebagai antara usaha memutuskan rantaian Covid-19.

Malah, atas sebab sama sudah ada beberapa lokasi yang penduduknya diarahkan menjalani perintah PKP Dipertingkatkan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 5:49 PM