ISMAIL SABRI YAAKOB
ISMAIL SABRI YAAKOB
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam, menahan 79 individu atas kesalahan mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 51 individu dikompaun manakala 28 lagi direman.

Menurut beliau, antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti dalam pub/kelab malam (11), gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (18) dan 17 kerana tidak memakai pelitup muka.

Selain itu, kesalahan lain ialah satu premis beroperasi lebih masa, parti persendirian (22) serta aktiviti membabitkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal.

"Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM membuat 64,776 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Sebanyak 4,845 Pasukan Pematuhan membabitkan 16,796 anggota membuat pemantauan di 3,722 pasar raya, 5,053 restoran serta 1,420 penjaja, 1,765 kilang,

3,770 bank dan 1,079 pejabat kerajaan.

"Juga dipantau, 1,154 terminal pengangkutan darat, 203 terminal pengangkutan air serta 169 terminal pengangkutan udara," katanya.

Beliau berkata demikian pada kenyataan hari ini mengenai pelaksanaan PKP hari ke-165 dan hari ke-81 PKPP.

Berkaitan kawalan sempadan negara, katanya, Operasi Benteng membabitkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) terus mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu.

"Semalam, PDRM mengadakan 64 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 30,120 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya di lorong tikus dan tiada tangkapan dibuat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2020 @ 4:50 PM