FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Amir Abd Hamid


MENCUBA pakaian di kedai, adalah salah seorang daripada 20 individu yang ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu seramai 10 individu direman dan 10 lagi dikenakan kompaun.

Menurutnya, antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti karaoke dan pusat hiburan keluarga membabitkan enam pesalah.

"Selain itu, tangkapan turut membabitkan lapan individu melakukan aktiviti di dalam pub atau kelab malam, seorang pesalah mencuba pakaian di kedai pakaian, lima pesalah melakukan aktiviti yang menyukarkan penjarakan sosial.

"Keseluruhannya, Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM membuat 66,468 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media laporan perkembangan harian mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-96 dan hari ke-12 PKP Pemulihan (PKPP), hari ini.

Berkaitan kawalan sempadan negara, Ismail Sabri berkata, menerusi Operasi Benteng yang membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi pendatang asing tanpa izin (Pati) bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak virus Covid-19.

"Semalam, PDRM membuat 60 sekatan jalan raya (SJR) Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 38,474 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pati terutamanya di lorong-lorong tikus.

"PDRM berjaya menahan 14 warganegara asing di SJR Operasi Benteng atas kesalahan imigresen," katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan semua agensi penguatkuasa secara bersepadu akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 4:44 PM