Datuk Mohamad Yasid Bidin
Datuk Mohamad Yasid Bidin
Rosyahaida Abdullah


JABATAN Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menggerakkan 200 tenaga kerjanya bagi menyiapkan bekalan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan di tiga hospital.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, inisiatif berkenaan alternatif arahan bekerja dari rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sehingga 14 April depan.

Jelas beliau, sukarelawan itu terdiri pemaju masyarakat KEMAS yang juga tenaga pengajar kelas jahitan serta pelatih kelas jahitan KEMAS yang memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

“Sukarelawan KEMAS ini sedia membantu pihak hospital dengan menyumbang kemahiran mereka menjahit kelengkapan PPE seperti baju makmal pakai buang, penutup mulut dan hidung serta sarung tangan dan kaki.

“Sumbangan ini juga sebahagian usaha KEMAS membantu mengurangkan risiko jangkitan kepada petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika menangani wabak ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohamad Yasid, projek itu pada peringkat awal membabitkan penyertaan sukarelawan di Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

“Setakat ini, kita bekerjasama dengan Hospital Putrajaya, Hospital Raub (Pahang) dan Hospital Kota Tinggi (Johor).

“Pihak hospital membekalkan bahan mentah sebelum kami jahit dan serahkan semula kepada pihak hospital yang berkenaan.

“Projek ini tentunya akan diperluaskan jika mendapat permintaan daripada hospital lain yang memerlukan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 4:43 PM