FERI Langkawi. FOTO Amran Hamid
FERI Langkawi. FOTO Amran Hamid
Noorazura Abdul Rahman


JADUAL perjalanan perkhidmatan feri bagi laluan Langkawi-Kuala Kedah dan Kuala Perlis-Langkawi akan dikurangkan kepada dua perjalanan sahaja berbanding 10 perjalanan sebelum ini mulai Jumaat (20 Mac) hingga 31 Mac ini.

Pengurus Sumber Manusia & Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, pengurangan perjalanan itu dilakukan berikutan pihaknya akur dengan arahan kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penyebaran COVID-19.

Katanya, waktu perjalanan di semua sektor diselaraskan hanya pada jam 11 pagi dan 4 petang sahaja mulai Jumaat hingga 31 Mac ini atau pada tarikh lain yang akan dimaklumkan kelak.

“Kepada penumpang yang telah membuat tempahan atas talian atau pembelian awal di kaunter boleh membuat tuntutan bayaran balik harga tiket sebelum tarikh pergerakan feri.

“Pada masa sama, kami juga akan membuat bayaran balik bagi penumpang yang membatalkan percutian mereka ke Pulau Langkawi,” katanya dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Baharin turut menafikan terdapat ramai pelancong yang masuk melalui jeti Kuala Kedah dan Kuala Perlis untuk bercuti ke Pulau Langkawi seperti yang tular di media sosial.

Katanya, majoriti penumpang semalam adalah penduduk asal pulau berkenaan.

“Mereka beli tiket pada harga lebih murah iaitu RM13 selepas menunjukkan bukti beralamat di sini melalui MyKad berbanding harga tiket biasa RM18 dari Kuala Perlis manakala dari Kuala Kedah RM20 berbanding RM23.

“Kami mempunyai data lengkap berkaitan penduduk di sini dan boleh membezakan pelancong dan penduduk Langkawi dengan melalui pembelian tiket.

“Contoh, semalam, 3,046 penumpang adalah penduduk pulau ini yang mana mereka menaiki feri dari jeti Kuala Perlis, dari jeti Kuala Kedah pula 1,490 orang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2020 @ 3:49 PM