LANGKAWI dipilih sebagai projek rintis gelembung pelancongan bermula 16 September ini. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
LANGKAWI dipilih sebagai projek rintis gelembung pelancongan bermula 16 September ini. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Perkhidmatan feri ke Pulau Langkawi melalui Terminal Feri Kuala Perlis ditambah satu lagi menjadikan tiga feri akan beroperasi pada hari permulaan gelembung pelancongan, 16 September ini.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kepten Baharin Baharom berkata, ini berikutan jumlah penumpang feri sudah membuat tempahan setakat ini seramai 619 orang.

Beliau berkata, trip perjalanan itu membabitkan jadual bermula 9.30 pagi, 10.30 pagi dan 11.30 pagi Khamis ini.

"Bagaimanapun kami akan memantau pergerakan jumlah pelancong dan sekiranya perlu ada penambahan, kita akan tambah lagi feri bergantung pada keperluan untuk mencapai 50 peratus pelancong ke pulau itu.

"Namun, Terminal Feri Kuala Kedah masih ditutup lagi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kuala Kedah yang bermula sejak 6 September lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Baharin berkata, pihaknya dimaklumkan hanya pelancong dari Kedah dan Perlis perlu menunjukkan sijil digital dua dos suntikan vaksin kepada petugas di terminal sebelum dibenarkan menaiki feri.

Bagaimanapun, katanya, pelancong dari negeri lain perlu mengemukakan bersama surat kebenaran polis seperti ditetapkan sebelum ini.

"Setakat ini kita sudah bersedia untuk menerima kehadiran pelancong di Terminal Feri Kuala Perlis selain meletakkan ramai petugas bagi memastikan penumpang feri mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Kami sudah memasang penanda supaya penumpang tidak bersesak di terminal feri dan berada pada jarak satu meter antara satu sama lain manakala kanak-kanak pula perlu diawasi keluarga masing-masing," katanya.

Baharin berkata, kesemua kru feri dan petugas di terminal berkenaan sudah lengkap menerima suntikan dua dos vaksin sejak Mac lalu.

Katanya, selain itu sebahagian feri yang sebelum ini tidak beroperasi dibersihkan akibat teritip yang penuh di bahagian feri berkenaan.

"Perkhidmatan feri dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis ditambah sebanyak tiga buah bagi membolehkan pelancong untuk pulang ke tanah besar nanti.

"Saya berharap semua pelancong yang ingin melakukan perjalanan ke Langkawi menggunakan perkhidmatan feri perlu mematuhi SOP ditetapkan dan wajib memakai pelitup muka bagi mengelak penularan jangkitan.

"Diharapkan semua penumpang datang awal sebelum waktu perjalanan feri mengikut tempahan yang dibuat bagi mengelak kesesakan berlaku di terminal feri," katanya.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, bermula 16 September ini, Langkawi boleh dikunjungi pelancong domestik yang memenuhi kriteria SOP dari seluruh negara termasuk negeri berada di Fasa 1, Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 9:47 PM