TERMINAL Feri Penumpang Kuah merupakan antara pintu masuk utama ke Langkawi melibatkan perjalanan domestik dari Kuala Perlis, Kuala Kedah, dan Pulau Pinang.FOTO BERNAMA
TERMINAL Feri Penumpang Kuah merupakan antara pintu masuk utama ke Langkawi melibatkan perjalanan domestik dari Kuala Perlis, Kuala Kedah, dan Pulau Pinang.FOTO BERNAMA
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Konsortium Ferry Line Ventures akan memohon penambahan perjalanan feri dari Kuala Perlis ke Pulau Langkawi jika berlaku 'kesesakan' penumpang di jeti Kuala Perlis susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di daerah Kota Setar bermula tengah malam ini.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasinya Kapten Baharin Baharom berkata, pihaknya akan menutup perkhidmatan feri di terminal feri Kuala Kedah mulai esok sehingga 25 September ini seperti diarahkan kerajaan.

"Kita perlu akur dengan arahan kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19 di negeri ini khususnya di daerah Kota Setar selain bagi mengelak virus itu merebak ke Langkawi.

"Perkhidmatan feri ke Langkawi hanya diteruskan di Kuala Perlis, tetapi jika jumlah penumpang atau pelancong meningkat, kita akan memohon dengan Jabatan Laut Malaysia untuk menambah perjalanan feri ulang-alik antara Kuala Perlis-Langkawi," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sementara itu, Baharin berkata, pihaknya membenarkan semua tiket perjalanan yang terjejas untuk meminda tarikh perjalanan sehingga 31 Mac 2021.

Katanya, penumpang boleh menukar tarikh pada bila-bila masa tanpa sebarang bayaran tambahan.

"Sistem kami secara automatik akan menyatakan tarikh perjalanan anda sebagai tarikh terbuka dan boleh menukar tarikh perjalanan pada bila-bila masa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 6:31 PM