GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad


SEBANYAK enam laporan diterima polis Johor berhubung berita palsu penularan wabak Covid-19 bagi tempoh awal Januari hingga 7 Mac lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Maydin Pitchay berkata, semua laporan itu kini sedang dalam proses melengkapkan kertas siasatan.

Katanya, bagaimanapun tiada tangkapan dibuat kerana masih menunggu laporan forensik dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Empat laporan itu kita siasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 203 Kanun Keseksaan.

“Dua lagi disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru, hari ini.

Menurut Ayob Khan, pihaknya memberi banyak amaran serta penegasan berhubung penyebaran berita palsu, namun masih ada individu tidak bertanggungjawab bertindak menyebarkan berita tidak benar.

“Masih ramai yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu untuk menimbulkan kegusaran masyarakat.

“Selepas ini kita akan terus ambil tindakan, tiada lagi amaran,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 1:38 PM