GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Juwan Riduan


POLIS sedang mengesan individu yang menyebarkan berita palsu kononnya dua pelancong China yang tiba di Lapangan Terbang Labuan positif wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Berita palsu itu disedari oleh orang awam selepas terlihat pesanan yang dikongsi melalui aplikasi WhatsApp yang dimuat naik menerusi akaun Facebook (FB) Erol Cool, jam 8.54 pagi tadi.

Berikutan itu, pengadu merujuk perkara itu dengan Crisis Preparedness And Response Centre (CPRC) Kebangsaan, Jabatan Kesihatan Labuan dan dimaklumkan bahawa Labuan masih bebas daripada wabak berkenaan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan berkaitan aduan itu dan usaha mengesan individu berkenaan sedang dilakukan.

“Hasil siasatan mendapati pemilik akaun FB itu menyatakan bahawa dua pelancong warga China yang tiba di Lapangan Terbang Labuan ditahan oleh Jabatan Kesihatan Labuan kerana didapati positif Covid-19.

“Menurut pemilik akaun itu lagi, dua lelaki warga China itu kini diasingkan (kuarantin) oleh Jabatan Kesihatan Labuan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Muhamad Farid berkata, hasil siasatan awal juga mendapati berita palsu berkenaan disebarkan melalui FB dan permohonan untuk mengenal pasti pemilik akaun dihantar kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Polis sudah membuka kertas siasatan berkaitan aduan itu mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Akta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia 1998.

“Justeru polis menggesa orang ramai supaya menghentikan sebarang bentuk penyebaran berita, artikel, kenyataan yang tidak sahih atau tidak tepat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 10:33 PM