GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Mohd Sabran Md Sani


LEBIH 20 akaun (Facebook) palsu yang memburukkan calon Pakatan Harapan (PH) sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai berjaya dikesan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan itu dipercayai berniat merendahkan calon PH, Karmaine Sardini, 66, dengan cara negatif.

“Sebahagian adalah akaun palsu dan kita faham mengenai keadaan itu, tetapi kita tetap melaksanakan pemantauan dan tindakan terhadap media sosial yang sekarang ini berleluasa dengan berita palsu ini.

“Jumlah (akaun FB palsu) saya rasa banyak dan lebih 20 yang dalam pemantauan di PRK termasuk banyak berkaitan calon kita,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Peradin di Kampung Belokok, Pontian malam ini.

Katanya, pihaknya memantau beberapa media sosial sama ada menerusi Instagram atau FB yang mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap calon dan kerajaan PH.

“Jika kita dapati aduan ini ada unsur fitnah, kita tidak teragak-agak mengambil tindakan di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Ia bagi memastikan kita boleh berkempen secara sihat,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, tiada laporan rasmi diterima, selain menggalak rakyat atau pengamal media yang mendapat berita palsu membuat laporan polis serta SKMM secara atas talian.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 11:34 PM