NOORZAINY MOHD NOOR
NOORZAINY MOHD NOOR
Zuhainy Zulkiffli


WANITA warga emas kerugian RM225,000 apabila terperdaya dengan penipuan sindiket Macau Scam selepas didakwa terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, terdahulu mangsa berusia 76 tahun menerima panggilan telefon daripada wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Kuala Lumpur.

Menurutnya, mangsa dari Butterworth didakwa terbabit dalam kes pengubahan wang haram tetapi dinafikan wanita itu.

“Panggilan telefon kemudian disambungkan kepada rakan suspek yang menyamar sebagai pegawai polis Bukit Aman yang mendakwa mangsa bakal ditangkap.

“Suspek mengarahkan mangsa memindahkan wang dalam simpanan bagi tujuan siasatan menyebabkannya mengikut arahan kerana takut ditahan.

“Mangsa membuat transaksi wang berjumlah RM255,000 ke sembilan akaun diberikan antara 13 Februari hingga 21 Februari lalu kononnya untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa hanya sedar ditipu selepas pihak bank curiga dengan transaksi amaun yang besar dilakukannya.

Katanya, berikutan itu mangsa membuat laporan polis bagi tindakan lanjut.

“Pihak polis menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 4:41 PM