FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


LELAKI menanggung kerugian berjumlah RM165,000 apabila wang simpanan dalam akaun miliknya lesap selepas diperdaya sindiket penipuan dipercayai Macau Scam.

Kejadian 9.30 pagi pada 25 Mac lalu berlaku ketika mangsa berusia 56 tahun berada di rumahnya di Dungun menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kedah.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, individu terbabit kemudian meminta mangsa membuat pengesahan kad pengenalan sebelum dimaklumkan mempunyai tunggakan cukai perniagaan belum dijelaskan berjumlah RM17,600.

Beliau berkata, individu terbabit memaklumkan nama mangsa didaftarkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Alor Setar, Kedah pada Mac 2017.

Katanya, individu berkenaan juga mendakwa kad pengenalan mangsa digunakan pihak lain untuk tujuan yang salah.

“Panggilan kemudian disambung kepada anggota daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah. Mangsa dimaklumkan bersubahat kerana menjual kad pengenalan pada harga RM20,000. Susulan itu panggilan disambungkan kepada seorang inspektor polis pula.

“Inspektor berkenaan memaklumkan mangsa kononnya menerima komisen RM200,000 hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram akan ditahan di lokap sekiranya tidak memberi kerjasama,” katanya.

Baharudin berkata, mangsa dimaklumkan dia akan disiasat bank negara kerana terbabit dalam aktiviti penggubahan wang haram.

“Berikutan itu mangsa diminta membuat pengesahan nombor akaun bank miliknya bagi memastikan dia tidak disiasat berhubung aktiviti penggubahan wang haram seperti didakwa,” katanya.

Menurutnya, mangsa hanya sedar ditipu selepas mengemas kini akaun miliknya pada 27 Mac lalu dan ketika itu dia dimaklumkan wang simpanannya sudah tiada.

“Usaha mangsa menghubungi semula suspek gagal, berikutan itu dia ke Balai Polis Dungun, Rabu lalu untuk membuat laporan dan kami buka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 2:21 PM