Shamsul Munir Safini


DIDAKWA terbabit jenayah, wanita berusia 55 tahun kerugian RM20,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam, semalam.

Dalam kejadian itu, wanita berkenaan yang juga suri rumah menerima panggilan daripada lelaki yang memperkenalkan diri kakitangan Telekom Malaysia (TM).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki itu memberitahu mangsa dia mempunyai satu akaun telefon lain yang didaftarkan atas namanya.

“Suspek kemudian menghubungkan panggilan telefon itu kepada lelaki lain yang menyamar pegawai polis dan memberitahu kononnya mangsa terbabit dengan kes dadah serta pengubahan wang haram.

“Bimbang dengan ancaman dan dakwaan suspek, mangsa membuat empat transaksi pindahan wang berjumlah RM20,000 ke dalam akaun lelaki itu,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu memberitahu menipu mangsa kononnya wang yang dipindahkan itu akan disiasat Bank Negara.

Norzainy berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas memaklumkan perkara itu kepada suaminya sebelum diberitahu ia panggilan palsu.

Menurutnya, selepas menyedari ditipu, mangsa membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 3:30 PM