Zuhainy Zulkiffli

WANG simpanan berjumlah RM9,000 milik guru Bahasa Arab ‘lebur’ akibat terperdaya dengan sindiket ‘Macau Scam’, baru-baru ini.

Terdahulu, guru berusia 32 tahun itu mendakwa menerima panggilan daripada mahkamah memaklumkan dia terbabit dalam kes penggubahan wang haram serta pengedaran dadah dan perlu hadir ke perbicaraan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, panggilan kemudian disambung kepada beberapa rakan suspek yang memperkenalkan diri sebagai Koperal Faid, Sarjan Sharif dan Inspektor Akif dari Balai Polis Bukit Aman.

“Kesemua suspek turut memberi tekanan emosi dengan menyalahkan mangsa dan mendakwa guru terbabit boleh ditangkap serta diheret ke mahkamah.

“Mangsa yang ketakutan diberitahu akan dibantu salah seorang suspek dengan memindahkan wang akaun miliknya ke akaun sementara bagi tujuan siasatan dan berjanji wang akan dipulangkan semula,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Berikutan terperdaya, Noorzainy berkata, mangsa memberi maklumat akaun kepada suspek sebelum membuat transaksi ke atas beberapa akaun.

Bagaimanapun, katanya, mangsa menyedari ditipu apabila merujuk perkara berkenaan kepada rakannya sebelum membuat laporan polis.

“Siasatan mendapati kerugian sebanyak RM9,000 yang dialami mangsa membabitkan pindahan wang menerusi tiga transaksi berbeza.

“Malah, mangsa juga diberi amaran supaya merahsiakan panggilan itu daripada orang lain kerana mendakwa hal berkenaan adalah sulit,” katanya.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 4:45 PM