Gambar hiasan
Gambar hiasan
Shamsul Munir Safini


DUA wanita masing-masing kerugian RM20,000 dan RM4,700 selepas diperdayakan menerusi panggilan palsu dalam dua kejadian berasingan di Kepala Batas semalam.

Dalam kejadian pertama, seorang wanita berusia 51 tahun yang juga pekerja kilang mendakwa mengalami kerugian RM20,000 selepas terperdaya dengan sindiket ‘Phone Scam’.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa pada mulanya menerima panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis dari Negeri Sembilan.

Menurutnya, suspek yang menyamar mendakwa wanita berkenaan mempunyai kes penggubahan wang haram dan dadah.

“Pegawai polis palsu berkenaan memberitahu mangsa bahawa kes itu masih dalam siasatan dan meminta agar tidak memaklumkan kepada sesiapa mengenai perkara itu.

“Ia kononnya kerana mangsa merupakan ‘suspek’ dalam kes itu dan memintanya bekerjasama dan memasukkan wang ke dalam akaun polis berkenaan,”

katanya.

Noorzainy berkata, kerana terkejut dan takut menerima maklumat itu menyebabkan mangsa tanpa berfikir panjang terus membuat pindahan wang melalui kaunter bank dengan mengeluarkan wang miliknya dan dimasukkan ke akaun bank yang diberikan suspek.

“Wanita berkenaan dimaklumkan oleh suspek bahawa kesemua wang itu bertujuan untuk siasatan dan keselamatan mangsa,” katanya.

Dalam kejadian berasingan, seorang kakitangan awam berusia 35 tahun kerugian RM4,700 dipercayai terperdaya dengan sindiket yang menggunakan modus operandi yang sama.

Noorzainy berkata, individu yang hubungi mangsa juga menggunakan alasan wanita itu terbabit dalam kes penggubahan wang haram dan meminta wanita berkenaan memasukkan wang ke dalam akaunnya.

“Mangsa kemudian memindahkan wang ke akaun bank suspek selepas dimaklumkan bahawa ia adalah untuk siasatan dan ia akan dipindahkan kepada pihak Jabatan Audit Negara,” katanya.

Noorzainy berkata, kedua-dua mangsa kemudiannya membuat laporan polis selepas sedar mereka diperdayakan.

“Kedua kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 1:00 PM