ANTARA bot nelayan yang ditahan. FOTO ihsan APMM
ANTARA bot nelayan yang ditahan. FOTO ihsan APMM
Ruwaida Md Zain

TIGA bot nelayan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Selangor, Khamis lalu.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, ketiga-tiga bot ditahan di tiga lokasi dan waktu berbeza.

“Bagi tangkapan pertama, seorang tekong lelaki warga tempatan serta dua orang awak-awak warga Indonesia ditahan bersama bot nelayan tempatan Kelas A kerana melakukan kesalahan menggaji warga asing tanpa izin dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah di 0.8 batu nautika barat laut Muara Sungai Tambak Jawa Besar kira-kira 1 tengah hari.

“Sementara itu, tangkapan kedua pula dilakukan terhadap seorang tekong yang dikenali sebagai Budi di kedudukan 0.9 batu nautika selatan Muara Sungai Besar pada 6.10 petang kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah ketika ditahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohammad Rosli berkata, sebaik bot APMM mengiringi balik kedua-dua bot tahanan ke Jeti PPM, Pulau Indah, sebuah lagi bot nelayan Kelas B1 ditahan untuk pemeriksaan rutin.

“Hasil dari pemeriksaan mendapati, empat orang lelaki termasuk tekong berada di atas bot itu.

“Tekong dan seorang awak-awak dipercayai warga tempatan manakala dua orang lagi warga Indonesia tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek yang berumur dalam lingkungan 22 hingga 56 tahun diiringi ke Jeti PPM, Pulau Indah untuk disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 11:36 AM