KUALA LUMPUR 23 MEI 2019. APMM merampas lima bot dan menahan 40 warga Vietnam menceroboh serta mencuri hasil perikanan negara. NSTP/EMAIL
KUALA LUMPUR 23 MEI 2019. APMM merampas lima bot dan menahan 40 warga Vietnam menceroboh serta mencuri hasil perikanan negara. NSTP/EMAIL
Norizuan Shamsuddin


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan lima bot nelayan Vietnam dan menahan 40 individu, termasuk tekong yang menceroboh dan mencuri hasil perikanan negara di perairan Terengganu dalam dua operasi berasingan pada 21 Mei hingga semalam.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Maritim Datuk Mohamad Zubil Mat Som berkata, serbuan pertama dilakukan APMM Pahang yang berjaya menahan tiga bot nelayan Vietnam yang melakukan aktiviti menangkap ikan di kedudukan kira-kira 30 batu nautika sehingga 100 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu, kelmarin.

Menurutnya, hasil operasi itu, tiga bot nelayan Vietnam bersama 23 awak-awak termasuk tekong ditahan di kedudukan kira-kira 100 batu nautika selepas lima jam adegan kejar mengejar.

“Kesemua yang ditahan didapati tidak memiliki permit yang sah serta tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

“Hasil operasi sama, APMM juga mengesan sebuah lagi bot nelayan yang mencurigakan sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan pada kedudukan lebih kurang 30 batu nautika dari Kuala Terengganu, 8 pagi, semalam.

“Hasil pemeriksaan bot yang membawa lima awak-awak termasuk tekong didapati menggunakan nombor pendaftaran klon kerana nombor enjin bot tidak sama dengan lesen, selain tidak memiliki nombor pendaftaran yang sah serta tidak menghidupkan sistem pemantauan vesel,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sebuah lagi bot yang dinaiki 12 awak-awak termasuk tekong warga Vietnam berjaya ditahan menerusi operasi bersepadu Ops Naga yang dilaksanakan APMM Terengganu, semalam.

“Mereka didapati menceroboh dan menangkap ikan pada 79 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.

“Kesemua lima buah bot bersama 40 awak-awak berserta tekong yang ditahan dibawa ke jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Mohamad Zubil berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan rondaan dan penguatkuasaan di seluruh perairan negara, dan Ops Pagar yang baru dilancarkan khusus pada Ramadan dijangka akan dapat mengekang aktiviti perlanggaran undang-undang termasuk pencerobohan bot-bot nelayan asing.

Menurutnya, aset APMM di bawah Ops Naga yang dilancarkan untuk membanteras bot-bot nelayan asing Vietnam sehingga kini sudah berjaya menahan 17 bot nelayan Vietnam di perairan Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 9:38 PM