Hafidzul Hilmi Mohd Noor

GUNA pukat gading sebelum sedut hasil laut negara. Itu dilakukan dua bot nelayan asing di perairan Tok Bali, Kelantan, semalam.

Bagaimanapun tindakan bot milik nelayan Vietnam itu berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas menahan 18 individu termasuk tekong dan awak-awak.

Pengarah APMM Kelantan Kepten Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata,individu berusian 18 sehingga 42 tahun ditahan di 55 dan 57 batu nautika dari Kuala Tok Bali.

"Mereka ditahan kapal peronda APMM Kapal Maritim (KM) Jujur yang diketuai Leftenan Komander Maritim Pazrul Niza Mohd Mustapa sedang melaksanakan Op Damai.

"Setiba di lokasi berkenaan dua bot nelayan asing dilihat berada di lokasi itu dan melakukan aktiviti perikanan," katanya.

Nurul Hizam berkata, pemeriksaan mendapati kedua bot berkenaan disyaki melakukan aktiviti tunda ganding namun segera cuba melarikan diri apabila melihat kapal peronda penguatkuasa.

"Hasil pemeriksaan mendapati kedua bot berkenaan mempunyai 18 orang awak-awak termasuk tekong yang berumur dalam lingkungan 18 sehingga 42 tahun.

"Semua awak-awak dan tekong juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan kedua bot berkenaan tidak mempunyai dokumen yang sah untuk berada di perairan perikanan Malaysia," katanya.

Menurutnya, kedua bot bersama tekong dan awak-awak dibawa masuk ke jeti Maritim Malaysia Negeri Kelantan di Tok Bali untuk siasatan lanjut.

"Nilai rampasan merangkumi bot, peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan dan diesel dianggarkan bernilai lebih RM1.5 juta.

"Kes ini akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985,"katanya.

Katanya, sehingga kini APMM Kelantan sudah berjaya menahan sebanyak 31 buah bot dan 18 daripadanya merupakan bot nelayan yang disyaki klon dan bot nelayan asing Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 10:24 PM
PASIR PUTEH 29 OKTOBER 2018. Seramai dua tekong dan 18 awak-awak warga asing berusia antara 18 hingga 42 tahun ditahan bersama hasil tangkapan dan dua bot nelayan asing dengan nilai rampasan RM1.5 juta selepas menceroboh perairan negara ketika sidang media oleh Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, Kapten Maritim Nurul Hizam Zakaria di Pejabat APMM, Tok Bali. NSTP/SYAMSI SUHAImI