Zaid Salim


HIDUPAN marin seperti ikan dan sotong berkualiti tinggi di perairan negeri ini terutama di kawasan pelantar minyak, menyebabkan nelayan Vietnam tidak serik melakukan pencerobohan walaupun menyedari berdepan risiko ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, terkini tujuh bot nelayan Vietnam ditahan mulai Khamis lalu menerusi Op Kuda Laut yang dilaksanakan sejak akhir Jun lalu bertujuan mengekang habis-habisan pencerobohan nelayan Vietnam di perairan negara ini.

"Menerusi tangkapan ini, kami merampas hasil laut berupa ikan berkualiti, ikan baja dan ikan campur seberat lima tan serta peralatan menangkap ikan bernilai RM10.5 juta termasuk rampasan diesel 10,000 liter.

"Semua bot terbabit ditahan di tujuh lokasi berasingan oleh tiga Kapal Maritim (KM) iaitu Tegas, Mulia 2 dan Gemia yang menjalankan operasi selama tiga hari bermula Khamis hingga Sabtu di lokasi antara 115 batu nautika hingga 134.5 batu nautika dari muara Kuala Terengganu," katanya.

Beliau berkata, tangkapan antara 8.45 malam dan 3 pagi itu turut membawa kepada penahanan 86 awak-awak termasuk tekong berusia antara 16 hingga 68 tahun.

Katanya, semua nelayan terbabit ditahan kerana tiada lesen dan pengenalan diri serta tiada kebenaran melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia.

"Semua tahanan dibawa masuk ke Jeti Maritim Negeri Terengganu untuk proses saringan Covud-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kes kemudian diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia.

"Siasatan turut dilakukan mengikut Akta Imigresen 1959/63 terhadap tekong dan awak-awak kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.

ANGGOTA APMM mengawal nelayan Vietnam yang ditahan di jeti APMM Terengganu di Pulau Kambing, Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori.
ANGGOTA APMM mengawal nelayan Vietnam yang ditahan di jeti APMM Terengganu di Pulau Kambing, Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori.

Muhammad Suffi berkata, sejak Op Kuda Laut dilancarkan pada 24 Jun lalu, pihaknya menahan 25 bot nelayan Vietnam di perairan Terangganu yang turut membabitkan penahanan 281 awak-awak dan tekong warga Vietnam.

Beliau berkata, pihaknya terus melaksanakan rondaan di perbatasan sempadan negara bagi menghapuskan pencerobohan nelayan asing khasnya dari Vietnam yang tidak serik memasuki perairan negara dan mengaut hasil laut secara haram.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 7:22 PM