1,040 kotak rokok dipercayai cuba diseludup suspek. FOTO IHSAN PDRM
1,040 kotak rokok dipercayai cuba diseludup suspek. FOTO IHSAN PDRM
Hazsyah Abdul Rahman


SEORANG penyeludup lari meninggalkan rakannya selepas Proton Waja dinaiki yang sarat dengan 1,040 kotak rokok ditahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Sabah Baru, Lahad Datu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, anggota Platun Tiger Batalion 17 PGA Lahad Datu sedang melakukan tugas risikan di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, anggota terbabit menyedari sebuah Proton Waja dalam keadaan mencurigakan menghampiri kawasan itu.

“Ketika menahan kenderaan itu untuk pemeriksaan, seorang lelaki keluar dari kenderaan itu lalu melarikan diri ke kawasan kampung.

“Anggota terbabit mengejar namun gagal menemukan suspek kerana keadaan gelap,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, pemeriksaan ke atas Proton Waja itu mendapati seorang lelaki bersama 1,040 kotak rokok dipercayai cuba diseludup.

Nasri berkata, suspek berusia 45 tahun itu bersama rokok dan kenderaan berkenaan kemudiannya dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati rokok berkenaan dianggarkan bernilai RM31,200 dan disyaki dibawa masuk dari Tawau ke Lahad Datu.

“Siasatan diteruskan dilakukan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 4:09 PM