ROKOK seludup yang ditemui susulan penahanan pemandu lelaki di Kampung Baburamah, Lahad Datu. FOTO Ihsan PGA Sabah.
ROKOK seludup yang ditemui susulan penahanan pemandu lelaki di Kampung Baburamah, Lahad Datu. FOTO Ihsan PGA Sabah.
Juwan Riduan


Lahad Datu: Sindiket pengedaran rokok seludup dikesan menggunakan taktik baharu dengan orang ketiga sebagai penghantar barang merentasi daerah.

Pihak berkuasa juga mengesan penggunaan nombor pendaftaran kenderaan palsu oleh sindiket itu semata-mata untuk mengelak daripada ditangkap.

Namun, taktik itu terbongkar selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan kereta Proton Waja yang melalui Kampung Baburamah, di sini dalam Op Kontraban pada 12.30 tengah hari semalam.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, kenderaan itu dipandu lelaki 42 tahun yang didakwa membawa rokok seludup dari Batu 4, Tawau ke Segama, di sini.

"Suspek mengaku itu adalah penghantaran kedua dibuatnya dengan bayaran RM500 bagi setiap perjalanan.

"Hasil pemeriksaan, pasukan menemui 825 karton rokok seludup pelbagai jenama," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, dalam soal siasat, suspek mengaku telah dihubungi lelaki bernama Jan yang memintanya mengambil Proton Waja berisi rokok itu untuk dihantar ke Lahad Datu.

"Rokok dan kenderaan yang dirampas dianggar bernilai RM45,000 dan suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk siasatan lanjut," katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 12:29 PM