ROKOK seludup dirampas APMM. FOTO Ihsan APMM
ROKOK seludup dirampas APMM. FOTO Ihsan APMM
Hazsyah Abdul Rahman

DUA bot sarat dengan rokok seludup ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Telukan, dekat Lahad Datu, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, sebanyak 86 karton rokok, 100 paket tembakau dan dua bot berserta enjin bernilai RM22,700 dirampas.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, terdahulu bot peronda APMM mengesan dua bot enjin sangkut dalam keadaan mencurigakan berhampiran perairan Telukan Lahad Datu, kira-kira 0.2 batu nautika barat daya dan 0.3 batu nautika tenggara jeti awam Lahad Datu.

"Apabila menyedari kehadiran bot APMM, kedua-dua bot suspek memecut laju ke arah kawasan daratan dan tekong serta awak-awak melarikan diri.

"Pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan itu menemukan bungkusan plastik berisi rokok pelbagai jenama," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

BOT digunakan penyeludup dirampas APMM. FOTO Ihsan APMM
BOT digunakan penyeludup dirampas APMM. FOTO Ihsan APMM

Menurutnya, bot dan barang rampasan dibawa ke jeti Perikanan Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

"Siasatan lanjut mendapati, bot berkenaan menggunakan nombor pendaftaran yang sama dan disyaki adalah nombor pendaftaran yang palsu.

"Rokok terbabit juga disyaki diseludup masuk ke negara ini untuk pasaran Lahad Datu.

"Siasatan diteruskan mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Jabatan Pelabuhan Dermaga Sabah (JPDS)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Februari 2020 @ 8:28 PM