FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hazsyah Abdul Rahman


KEGAGALAN meletakkan tanda harga pada gula dan tong gas petroleum cecair (LPG) yang dijual menyebabkan seorang peniaga bakal didenda RM50,000.

Peniaga terbabit ‘kantoi’ dalam operasi dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Bandar Ramai-Ramai, dekat Sandakan, semalam.

Ketua Cawangan KPDNHEP Sandakan Mohamad Hashim berkata, pihaknya yang sedang menjalankan operasi di kawasan berkenaan memasuki premis itu bagi melakukan pemeriksaan.

“Hasilnya, anggota bertugas mengesan barangan bersubsidi iaitu gula dan tong LPG tidak diletakkan harga.

“Disebabkan itu, peniaga terbabit dikenakan tindakan mengikut Seksyen 57 (b) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara dua tahun.

“Kami masih menunggu arahan Pendakwa Raya sama ada kes boleh didakwa atau peniaga berdepan penggantungan lesen,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, pihaknya sedang giat menjalankan operasi dan melakukan pemeriksaan di daerah itu.

“Sehingga kini, kami sudah memeriksa 209 premis. Daripada jumlah premis yang diperiksa, sebanyak 18 kes disiasat atas pelbagai kesalahan.

“Kegagalan meletakkan tanda harga antara tertinggi direkodkan setakat ini dengan 10 kes.

“Kami menasihatkan orang ramai tampil melaporkan sebarang kesalahan berkaitan harga dan lain-lain supaya tindakan dapat diambil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 5:24 PM