Syaherah Mustafa


KEGAGALAN seorang penjual meletakkan tanda harga pada gas LPG yang dijual di kedainya yang terletak di Jalan Ismail Petra, Tanah Merah, mengundang padah apabila dikenakan kompaun RM1,000 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal (KPDNHEP)

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDNHEP Cawangan Tanah Merah, Ahmad Azizi Abdul Kadir, berkata, hasil aduan orang ramai, anggotanya membuat operasi pada 11 pagi tadi dan mendapati premis itu gagal mempamerkan tanda harga.

Menurutnya, kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 30 an yang mengaku kerana tidak meletakkan tanda harga pada gas LPG yang dijual di kedainya itu.

“Pihak kami mengesyaki tindakannya yang tidak meletakkan tanda harga bagi memudahkan dia mengenakan harga lebih tinggi daripada biasa dan ini adalah taktik yang selalu digunakan sesetengah peniaga yang tidak bertanggungjawab.

“Harga runcit jualan LPG ini berbeza mengikut saiz tong gas iaitu RM19 bagi 10 kilogram (kg), RM22.80 untuk 12kg dan RM26.60 untuk 14kg. Namun, aduan yang kami terima ada peruncit yang mengenakan harga hingga RM28 bagi 14kg LPG.

“Hasil serbuan ini, anggota kami menyita sebanyak 14 tong gas kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Perintah Kawalan Harga (PHOPR) 1993,” katanya.

Ahmad Azizi berkata, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), KPDNHEP Cawangan Tanah Merah menjalankan pemeriksaan ke atas 657 premis selain menerima sebanyak 18 aduan daripada orang awam.

Katanya, sepanjang tahun ini, terdapat sebanyak 57 kes yang dikesan KPDNHEP dengan nilai sitaan RM80,108.08 dan tiga daripadanya membabitkan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Umum mengetahui LPG adalah barangan dengan harga terkawal, jadi penanda harga penting supaya pembeli boleh merujuk harga sebenar selain dapat mengenal pasti peruncit yang cuba menaikkan harga sendiri.

“Selain itu, tindakan tegas diambil bagi mana-mana pihak yang gagal mempamerkan tanda harga dan menjual barang kawalan melebihi harga kawalan yang ditetapkan sepanjang tempoh PKP,” katanya

Tambah beliau, KPDNHEP akan terus giat membuat pemantauan serta melakukan pemeriksaan bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan selain menjaga hak orang ramai sebagai pengguna dan pembeli.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 9:04 PM