KPDNHEP merampas 92 tong gas petroleum cecair LPG. FOTO IHSAN KPDNHEP
KPDNHEP merampas 92 tong gas petroleum cecair LPG. FOTO IHSAN KPDNHEP
Oleh Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 92 tong gas petroleum cecair (LPG) 14 kilogram dalam serbuan di sebuah premis yang dipercayai menjual bahan itu tanpa lesen di Taman Daya di sini, kelmarin.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Johor, Mohd Hanizam Kechek, berkata operasi berkenaan dijalankan sepasukan anggota penguat kuasa kira-kira jam 10.00 pagi Sabtu.

"Dalam serbuan itu nilai 92 tong LPG 14 kilogram, sebuah lori serta tiga motosikal dianggarkan bernilai RM26,800, turut berjaya dirampas.

"Ia hasil daripada makluman awam dan risikan yang dijalankan selama empat minggu. Risikan turut mendapati premis terbabit digunakan sebagai tempat untuk menjalankan aktiviti penjualan tong gas terbabit.

"Selain itu premis terbabit juga dijadikan sebagai tempat pengedaran dan penyimpanan tong LPG sebelum diedar ke kawasan sekitar," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Hanizam, berkata menerusi serbuan itu, seorang lelaki warga asing berusia 30 tahun, yang berada di dalam premis berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. Jika sabit kesalahan, pemilik premis boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 4:28 PM