Malik Muhamad dan Zaid Salim dan Ahmad Rabiul Zulkifli


KERIANGAN jelas terpancar di wajah 150 murid yang terpilih menyertai program Titipan Kasih Harian Metro-MILO (TKHM) 2019 di Sekolah Kebangsaan Undang di sini, semalam.

Mereka kelihatan begitu gembira apabila dapat memilih pakaian bersama rakan dan juga petugas Harian Metro.

Lebih menggembirakan apabila ada dalam kalangan mereka tidak sempat bersama keluarga membeli barangan keperluan sebelum menjelang sesi persekolahan pada Rabu depan kerana kehilangan insan tersayang lebih awal.

Murid dari Sekolah Kebangsaan Undang, Izzat Nurul Iman Mohd Razif, 9, berkata, dia begitu seronok kerana terpilih menyertai program anjuran Harian Metro ini.

"Sebelum ini, saya beli pakaian baharu bersama ibu di pasar raya, saya begitu seronok, tapi itu semua tinggal kenangan kerana ibu saya (Zalifah), meninggal dunia pada pertengahan November lalu kerana sakit jantung.

"Saya sempat berada di sisi ibu sebelum dia meninggal dunia. Saya begitu sedih, kerana ibu tak dang (tidak sempat) beli baju baharu bersama adik, tapi dengan adanya baju baharu yang diberi Harian Metro, ia membuatkan saya gembira dan terharu," kata anak bongsu daripada lima beradik yang bercita-cita menjadi guru.

HUSAIN (tengah) bergambar bersama murid dan guru sempena program Titipan Kasih Kembali Ke Sekolah di SK Undang.
HUSAIN (tengah) bergambar bersama murid dan guru sempena program Titipan Kasih Kembali Ke Sekolah di SK Undang.

Izzat kini bersama adik-beradiknya tinggal bersama bapanya yang bekerja sebagai buruh.

Sementara itu, bagi Muhammad Iqmal Daniel Azlim, 11 tahun, dia juga begitu gembira kerana dapat membeli pakaian dan barangan keperluan sekolah bersama rakan berbanding bersama bapa dan ibunya sebelum ini.

"Saya gembira kerana ada yang bantu saya beli pakaian, ini pengalaman pertama saya, kerana bapa saya sudah tiada (meninggal dunia) pada tahun lalu.

"Saya harap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang, terima kasih Harian Metro dan MILO," kata murid Sekolah Kebangsaan Gong Balai, Marang itu.

Bapanya, Azlim Mohd Noor meninggal dunia pada Januari 2018 selepas lemas akibat dipukul ombak ketika berada di Muara Sungai Merchang selepas pulang menangkap ikan.

Bagi Muhammad Harraz Irfan Ayob, 11, dari Sekolah Kebangsaan Merchang, Marang, dia juga begitu gembira kerana terpilih menyertai program membeli pakaian dan barangan keperluan sekolah.

"Saya tak tahu nak cakap apa, tapi begitu gembira kerana dapat pilih sendiri barang keperluan sekolah sambil dibantu guru dan petugas Harian Metro.

"Saya beli baju, seluar, kasut, alat tulis, buku sebagai persiapan sebelum buka sekolah nanti, ini sebagai persiapan menjelang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun depan, saya sasar lima A," katanya.

Sebanyak enam sekolah terbabit dalam program ini iaitu SK Undang, SK Gong Balai, SK Ru Rendang, SK Merchang, SK Paya Resak dan SK Bukit Payong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Disember 2019 @ 6:10 AM