SAIFUL Nizam mengambil masa dua minggu untuk melukis mural di lapan dinding tandas dengan tema flora dan fauna.
SAIFUL Nizam mengambil masa dua minggu untuk melukis mural di lapan dinding tandas dengan tema flora dan fauna.
Rosman Shamsudin


Hulu Bernam: Walaupun usaha dilakukan seorang guru Pendidikan Seni, Saiful Nizam Sayuti, 54, melukis mural nampak kecil namun ia mampu menimbulkan suasana dan persekitaran kondusif di sekolah berkenaan.

Dia yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tengi, Hulu Bernam, Selangor mengambil masa dua minggu bagi melukis mural di lapan dinding tandas dengan tema flora dan fauna.

Saiful Nizam mengakui idea melukis mural di dinding tandas murid dan guru timbul selepas dia melihat dinding berkenaan kosong selain kurang ceria.

Katanya, berbekalkan bakat seni yang mengalir sejak zaman kanak-kanak, dia bercadang menceriakan tandas, sekali gus sekolah berkenaan.

"Melukis mural antara program keceriaan sekolah dan saya memilih tema berkenaan bagi menyokong program terbabit.

"Aktiviti ini dilakukan pada masa senggang termasuk cuti sekolah untuk memastikan mural terbabit siap dalam tempoh ditetapkan," katanya.

Dia mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Seni Visual dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Antarabangsa Kuala Lumpur.

Berpengalaman mengajar selama 25 tahun di SK Felda Gedangsa, kemudian berpindah ke sekolah terbabit menjadikan dia begitu mahir dan arif dalam aktiviti kesenian terutama seni mural.

Menurutnya, dia memilih tema berkenaan bertujuan mendidik murid berkenaan agar lebih menghargai dan cinta alam semula jadi ciptaan Tuhan selain mewujudkan keceriaan di dinding terbabit.

Katanya, dia memilih cat berjenama supaya lukisan mural dihasilkan mampu tahan lama di samping nampak lebih menarik terutama selepas gabungan pelbagai warna.

"Bermula dengan lakaran, kemudian menggunakan cat lalu saya melukis berdasarkan kreativiti sendiri.

"Sebagai guru seni yang berpengalaman saya perlu bijak dan kreatif menggunakan gabungan warna supaya mural dihasilkan menarik perhatian dan menimbulkan suasana ceria," katanya.

Rasional memilih dinding tandas, dia berkata, biasanya bila terpandang atau sebut sahaja perkataan tandas sudah tentu timbul pelbagai persepsi kurang elok.

Katanya, tandas ceria pasti memberi keselesaan kepada pengguna terutama murid yang menggunakan setiap hari pada waktu persekolahan.

"Nampak mudah bila kita melihat lukisan mural siap namun sebenarnya tidak seperti difikirkan.

"Melukis mural memerlukan penghayatan dan daya imaginasi tinggi di samping bakat supaya mural berkenaan mampu memberi mesej jelas kepada audien.

"Mural bermesej mampu mendidik secara tidak langsung terutama kepada murid yang merupakan generasi yang bakal mewarisi masa depan negara," katanya.

Dia yang juga generasi kedua Felda Sungai Tengi berkata, apabila sekolah ceria, ia mendorong kehadiran murid di samping menarik minat mereka mempelajari ilmu Pendidikan Seni.

"Bila murid nampak hasil seni baru timbul minat mereka mempelajari mata pelajaran berkenaan.

"Sebagai guru perlu memulakan dengan memberi contoh melalui hasil seni dan secara tidak langsung mewujudkan mod atau motivasi kepada murid berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 7:01 AM