KENDERAAN yang membawa mayat seorang daripada ahli kumpulan Geng 04. FOTO Ihsan PDRM
KENDERAAN yang membawa mayat seorang daripada ahli kumpulan Geng 04. FOTO Ihsan PDRM
Hadzlihady Hassan


ENAM lelaki ditahan selepas didapati terbabit dalam pertubuhan kumpulan Geng 04 dan merancang perarakan ketika majlis pengebumian seorang ahli kumpulan mereka di Batu Lanchang, Rabu lalu.

Semua suspek berusia 21 hingga 26 tahun itu ditahan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut sekitar Georgetown dalam operasi bermula 12 tengah malam hingga 5 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, penahanan semua suspek dilakukan susulan aduan daripada anggota polis yang melihat video perarakan majlis pengebumian berdurasi 11 saat itu dalam Facebook, semalam.

Menurutnya, hasil penelitian dalam video itu mendapati perarakan pengebumian terbabit disyaki dilakukan ahli kumpulan tidak berdaftar menggunakan logo ‘04’ yang dipamerkan di hadapan sebuah kenderaan.

“Selain itu, perarakan terbabit juga menyebabkan kesesakan jalan raya kerana tidak dirancang dengan sempurna serta tidak merujuk kepada polis terlebih dahulu.

“Siasatan awal juga mendapati majlis pengebumian berkenaan dilakukan untuk seorang lelaki yang juga ahli kumpulan pertubuhan itu yang meninggal dunia akibat kemalangan, Selasa lalu,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati empat daripada suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kes dadah, samun, mendatangkan cedera, merusuh dan pernah ditahan kerana kes bunuh.

“Semua mereka kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1988,” katanya.

Menurutnya, polis tidak menghalang sebarang perarakan pengebumian sekiranya ia dilakukan tanpa melanggar sebarang peraturan atau undang-undang dan juga tidak menimbulkan keresahan kepada orang ramai.

“Selain itu, kita meminta orang ramai mendapatkan nasihat daripada polis sebelum membuat sebarang perarakan bagi memastikan tiada kesesakan lalu lintas yang akan menyebabkan pengguna jalan raya lain turut terjejas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 3:09 PM