SEBAHAGIAN PATI yang ditahan dalam serbuan di premis di Taman Sinar, Nibong Tebal. FOTO Ihsan JIM
SEBAHAGIAN PATI yang ditahan dalam serbuan di premis di Taman Sinar, Nibong Tebal. FOTO Ihsan JIM
Hadzlihady Hassan


UPAH pendatang asing tanpa izin (PATI) bekerja sebagai tukang jahit untuk jimatkan kos. Itu tindakan dilakukan pemilik kilang pakaian selepas sepasukan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang menyerbu premis terbabit di Taman Sinar, Nibong Tebal, kelmarin.

Dalam serbuan 2 petang itu, seramai 11 pekerja warga asing yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri ditahan ketika sedang bekerja di kilang berkenaan.

Difahamkan, pemilik kilang itu juga tidak membenarkan semua pekerja warga asing berkenaan untuk keluar sesuka hati daripada premis berkenaan kerana mahu mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Pengarah JIM negeri, Muhamad Husni Mahmud berkata, seramai 20 pekerja terdiri daripada sembilan warga tempatan dan 11 warga asing diperiksa dalam serbuan terbabit.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati semua 11 pekerja warga asing itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri atau dokumen perjalanan sah dan ditahan untuk siasatan lanjut.

“Mereka yang ditahan ini terdiri daripada tiga lelaki dan lapan wanita berusia 20 hingga 35 tahun dan masing-masing berasal dari Bangladesh, Myanmar, Kemboja dan Vietnam.

“Selain itu, kita turut menahan majikan yang menggajikan semua pekerja warga asing terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati semua PATI terbabit diambil bekerja bagi menjimatkan kos kerana mereka dikatakan dibayar gaji dengan lebih lebih murah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 1:31 PM