PENDUDUK sekitar Kedai Lama di Rantau Panjang mulai berpindah di PPS Sekolah Kebangsaan Sri Rantau Panjang 2 berikutan limpahan air Sungai Golok melepasi paras bahaya. FOTO Syamsi Suhaimi
PENDUDUK sekitar Kedai Lama di Rantau Panjang mulai berpindah di PPS Sekolah Kebangsaan Sri Rantau Panjang 2 berikutan limpahan air Sungai Golok melepasi paras bahaya. FOTO Syamsi Suhaimi
Siti Nor Hidayatidayu Razali


KOTA Bharu dan Pasir Puteh dilanda banjir menyebabkan mangsa di Kelantan bertambah kepada 808 orang daripada 222 keluarga berbanding 389 mangsa daripada 106 keluarga jam 8 pagi tadi.

Semua mangsa ditempatkan di 24 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Machang.

Berdasarkan aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS di Kota Bharu dan Pasir Puteh dibuka sejak pagi tadi.

Daerah Pasir Mas menunjukkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu seramai 296 mangsa daripada 88 keluarga yang ditempatkan di lapan PPS.

Mereka ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jarum (61 mangsa, 14 keluarga); PPS Putat Tujoh (39 mangsa, 16 keluarga); Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (A) Lati (95 mangsa, 31 keluarga); SK Kampung Baru (20 mangsa, empat keluarga); SK Sri Kiambang (tujuh mangsa, dua keluarga); SK Bakong (enam mangsa, dua keluarga); SK Lubok Setol (enam mangsa, satu keluarga) dan SK Kubang Kual (62 mangsa, 18 keluarga).

Mangsa banjir di Kota Bharu seramai 191 orang daripada 48 keluarga yang berada di empat PPS iaitu SK Sri Ketereh (68 mangsa, 17 keluarga); SK Buloh Poh (69 mangsa, 16 keluarga); Islamic Outreach ABIM Kok Lanas (19 mangsa, tujuh keluarga) dan SK Melor (35 mangsa, lapan keluarga).

Manakala mangsa di Pasir Puteh seramai 106 orang daripada 25 keluarga yang berada di dua PPS iaitu di Kompleks Dewan Kamil (99 mangsa, 24 keluarga) dan SK Changgai (tujuh mangsa, satu keluarga).

Jumlah mangsa di Tanah Merah masih kekal seramai 173 orang daripada 45 keluarga berbanding 155 mangsa malam tadi.

Mereka ditempatkan di enam PPS iaitu SK Kelewek (39 mangsa, sembilan keluarga), SK Bukit Panau (dua mangsa, satu keluarga), SK Alor Pasir (35 mangsa, 10 keluarga), Dewan Serbaguna Kampung Padang Kijang (33 mangsa, sembilan keluarga), SK Kulim (17 mangsa, lima keluarga) dan Masjid Mukim Kuala Kepok (47 mangsa, 11 keluarga).

Mangsa banjir di Machang meningkat kepada 42 orang daripada 16 keluarga berbanding pagi tadi seramai 37 mangsa ditempatkan di dua PPS iaitu SK Pak Roman (37 mangsa, 15 keluarga) dan SK Mata Air (lima mangsa, satu keluarga).

Sementara itu, berdasarkan web publicinfobanjir.water.gov.my, bacaan air Sungai Golok di Rantau Panjang melepasi paras bahaya dengan bacaan 10.25 meter (m).

Manakala, tiga sungai di paras berjaga-jaga iaitu Sungai Lebir di Tualang; Sungai Kelantan di Tangga Krai dan Sungai Golok di Jenob masing-masing 30.85 m; 22.39 m serta 22.07 m.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 11:36 AM