KEADAAN paras air di jambatan Muhibah di Sungai Golok mencapai paras bahaya berikutan hujan yang turun sejak Jumaat lalu. FOTO Fathil Asri
KEADAAN paras air di jambatan Muhibah di Sungai Golok mencapai paras bahaya berikutan hujan yang turun sejak Jumaat lalu. FOTO Fathil Asri
Siti Nor Hidayatidayu Razali


HUJAN lebat yang berterusan sejak Jumaat lalu menyebabkan mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 1,112 orang 9 malam ini berbanding 915 mangsa 6 petang tadi.

Jumlah itu membabitkan 296 keluarga yang ditempatkan di 20 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah.

Pusat terbaru dibuka jam 6 petang di Sekolah Kebangsaan (SK) Tiong, Kota Bharu dengan jumlah mangsa 45 daripada 10 keluarga.

Portal eBanjir.Kelantan merekodkan, jumlah mangsa tertinggi di Kota Bharu seramai 526 orang daripada 129 keluarga; diikuti Pasir Puteh 258 mangsa (81 keluarga), Pasir Mas (132 mangsa daripada 37 keluarga) dan Tanah Merah (131 mangsa daripada 33 keluarga.

Manakala, Machang (12 mangsa, dua keluarga), Bachok (44 mangsa daripada 11 keluarga) dan Kuala Krai (sembilan mangsa, tiga keluarga).

Sementara itu, paras air Sungai Golok yang melebihi paras bahaya terus meningkat kepada 9.68 meter daripada 9.54 meter.

Empat sungai utama lain berada di paras berjaga-jaga iaitu Sungai Lebir di Tualang, Sungai Kelantan di Tangga Krai, Sungai Galas di Dabong dan Sungai Golok di Jenob.

Enam jalan ditutup masing-masing tiga di Machang, dua di Pasir Mas dan satu di Tanah Merah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 9:38 PM