BANJIR di Kampung Chenulang, Kuala Krai, semalam. FOTO Ihsan Bomba
BANJIR di Kampung Chenulang, Kuala Krai, semalam. FOTO Ihsan Bomba
Siti Nor Hidayatidayu Razali


JUMLAH mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 315 orang daripada 89 keluarga sehingga jam 8 pagi ini, berbanding 265 mangsa daripada 75 keluarga, 9.30 malam tadi.

Kesemua mangsa banjir itu ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah iaitu Kuala Krai, Machang dan Tanah Merah.

Berdasarkan aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa di Kuala Krai terus meningkat kepada 175 orang berbanding 167 orang, malam tadi.

Mereka ditempatkan di empat PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Chenulang (63 daripada 13 keluarga), Tabika Kemas Kuala Pertang (61 mangsa daripada 21 keluarga), Balai Raya Kampung Mia (43 mangsa daripada 10 keluarga) dan SK Sg Embak (empat keluarga, lapan mangsa).

Di Tanah Merah, banjir menyebabkan 103 orang daripada 26 keluarga ditempatkan di enam PPS iaitu SK Kelewek (39 mangsa daripada sembilan keluarga), SK Bukit Panau (dua mangsa daripada satu keluarga), SK Alor Pasir (20 mangsa daripada enam keluarga), Dewan Serbaguna Kampung Padang Kijang (21 mangsa daripada lima keluarga), SK Kulim (11 mangsa daripada tiga keluarga) dan Masjid Mukim Kuala Kepok (10 mangsa, dua keluarga).

Mangsa di Machang masih kekal seramai 37 orang daripada 15 keluarga yang ditempatkan di SK Pak Roman.

Sementara itu, berdasarkan web publicinfobanjir.water.gov.my,

bacaan air Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Lebir di Tualang berada di paras amaran masing-masing pada bacaan 8.73 meter (m) serta 31.44 m, sementara tiga sungai berada pada paras berjaga-jaga.

Air Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah pada paras berjaga-jaga dengan bacaan 21.99 m, Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah dan Kuala Krai masing-masing pada bacaan 13.35 m dan 21.25 m.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 November 2019 @ 8:46 AM