ANTARA rumah penduduk terjejas. FOTO Ihsan APM
ANTARA rumah penduduk terjejas. FOTO Ihsan APM
Raja Noraina Raja Rahim


EMPAT keluarga membabitkan 13 orang di Kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) Kampung Linsum, Rantau di Seremban, dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas rumah mereka rosak akibat ribut, semalam.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Mejar (PA) Mohd Rohaidi Halim berkata, semua mangsa dipindahkan ke Balai Raya Kampung Linsum, sejak 1 pagi tadi.

“APM menerima maklumat kejadian hujan lebat dan ribut kira-kira jam 3 petang semalam sebelum ke lokasi melakukan pemantauan.

“Terdapat empat rumah yang dilanda ribut mengalami kerosakan atap dan tercabut.

“Semua mangsa kemudian diarahkan oleh Pegawai Daerah untuk berpindah di PPS yang dibuka awal pagi tadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, katanya beberapa rumah di Kampung Linsum rosak dihempap pokok dan bumbung dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau turut diterbangkan ribut.

Beliau berkata, APM masih melakukan tinjauan di kawasan terjejas dan membuat kerja pembersihan pokok tumbang, manakala kerja pembaikan atap rumah akan diuruskan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

ANTARA rumah penduduk terjejas. FOTO Ihsan APM
ANTARA rumah penduduk terjejas. FOTO Ihsan APM

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 11:57 AM