Antara rumah yang terjejas akibat ribut di Kuarters JKR malam tadi. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Antara rumah yang terjejas akibat ribut di Kuarters JKR malam tadi. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim


“SAYA peluk anak kuat-kuat takut perkara buruk berlaku. Angin sangat kuat sukar untuk digambarkan,” kata Dalila Nordin, 47.

Dalila menceritakan kejadian ribut yang berlaku di Kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) di Kampung Linsum, Seremban semalam.

Ibu enam anak itu berkata, ketika kejadian 3 petang itu semua anaknya berusia antara tujuh hingga 24 tahun ada di rumah dan berehat di ruang tamu.

“Ketika itu hujan renyai sebelum tiba-tiba bunyi dentuman kuat menyebabkan bekalan elektrik terputus.

“Saya keluar untuk alihkan kereta kerana bimbang dihempap pokok tetapi terkejut apabila melihat ribut datang dan menerbangkan atap rumah.

“Saya lari masuk dalam rumah dan meminta anak duduk diam,” katanya ditemui di rumahnya hari ini.

Selain rumah Dalila, tiga lagi rumah di kuarters berkenaan turut rosak dilanda ribut.

Bercerita lanjut Dalila yang juga suri rumah berkata, selepas kejadian dia menghubungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan kejadian itu.

Katanya, beberapa anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan polis tiba di rumahnya dan menghulurkan bantuan sebelum mereka diarahkan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Balai Raya Kampung Linsum.

“Saya bersyukur tiada ahli keluarga cedera walaupun semua peralatan rumah, dan barangan elektrik rosak selain pakaian basah serta tilam basah,” katanya yang akan menumpang rumah ibu saudara di Port Dickson buat sementara.

Selain rumah, dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau yang akan digunakan sebagai pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut rosak.

Pengetua SMK Rantau, Abd Halim Md Yunus berkata, kejadian ribut itu turut merosakkan empat blok yang menempatkan kelas, makmal, bilik guru dan bilik komputer.

“Paling teruk adalah dewan yang sedang buat persiapan untuk SPM esok. Mujur ketika kejadian tiada orang di dalam dewan.

“Kita mengambil tindakan memindahkan semua keperluan peperiksaan ke kelas yang dijadikan dewan untuk pastikan 129 pelajar Tingkatan Lima dapat menduduki peperiksaan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai APM Seremban, Kapten Md Farid Md Noor berkata, dua pasukan dikerahkan ke lokasi bagi membantu mangsa yang terjejas.

Katanya, dianggarkan 30 rumah di sekitar Kampung Linsum rosak akibat ribut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 6:54 PM