LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam.
LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam.
Amirul Aiman Hamsuddin


LELAKI yang maut dalam kemalangan di Jalan Tali Air, Sawah Sempadan, Tanjong Karang, awal pagi semalam, sempat menziarahi kedua ibu bapanya buat kali terakhir, malam kelmarin.

Dalam kejadian 2.30 pagi itu, Muhammad Fadzli Muhammad Yusari, 40, maut selepas Perodua Myvi dipandunya terbabit kemalangan dengan Mercedes Benz C200 dipandu lelaki warga emas berusia 66 tahun.

Warga emas itu turut maut selepas membunuh diri dengan mengelar lehernya menggunakan pisau boleh laras.

Adik kepada Muhammad Fadzli, Muhammad Sufian, 22, berkata kali terakhir dia bertemu abangnya itu semasa di rumah keluarganya di Kampung Seri Tiram Jaya, Tanjong Karang, malam kelmarin.

“Arwah abang sempat menziarahi ibu, Jumiah Saman, 59, yang baru selesai menjalani dialisis buah pinggang dan bapa, Muhammad Yusari Shuib, 69, yang terlantar akibat patah tulang antara pinggul dan paha selepas terjatuh di kebun minggu lalu.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan abang pada malam sebelum kejadian dan dia hanya berdiam tanpa menegur seperti biasa sebelum saya ke Kapar untuk menyelesaikan beberapa urusan pada 12 tengah malam.

“Pada 2.30 pagi ketika pulang dari Kapar, saya terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada rakan sekampung memaklumkan abang sudah tiada,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Katanya, Muhammad Fadzli sebagai patuh pada kedua ibu bapa selain disenangi dalam kalangan keluarga dan saudara mara.

“Ketika hayatnya, abang akan cuba tunaikan segala permintaan ibu serta ayah dan tidak pernah mengeluh sama sekali.

“Walaupun sukar untuk menerima khabar berita ini, namun saya reda dan berdoa abang diberikan kebaikan di alam sana nanti,” katanya.

Seorang lagi adik mangsa, Hartini berkata, Muhammad Fadzli sebelum ini pernah bekerja di sebuah bank di Tanjong Karang sebelum berhenti pada 2012 akibat strok.

Katanya, walaupun sedih dan terkejut dengan kehilangan Muhammad Fadzli sekelip mata, dia sekeluarga reda dengan apa yang berlaku.

Jenazah Muhammad Fadzli dimandikan dan dikafankan di Hospital Tanjong Karang (HTK) dan dibawa ke rumah keluarganya untuk disembahyangkan.

Jenazah Muhammad Fadzli kemudiannya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seri Tiram Jaya, Tanjong Karang, pada 2 petang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Noor Janihan Nanyan berkata, ketika kejadian Perodua Myvi dipandu Muhammad Fadzli datang dari arah Rawang menghala ke Tanjong Karang.

Bagaimanapun, katanya, kereta mangsa tiba-tiba merempuh bahagian hadapan Mercedes-Benz C200 yang berhenti di tengah jalan.

“Perlanggaran itu menyebabkan kereta dipandu Muhammad Fadzli tercampak ke dalam parit di kawasan berhampiran dan mangsa maut di lokasi kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Berita berkaitan

'Kelar leher sendiri selepas kemalangan'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 4:41 PM