GAMBAR Mohd Irfan (tengah) yang dikongsi ahli keluarganya.
GAMBAR Mohd Irfan (tengah) yang dikongsi ahli keluarganya.
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Imam Masjid Ar Raudhah yang maut dalam kemalangan di Kilometer 64 Jalan Teluk Intan-Klang dekat Sekinchan, semalam disifatkan seorang pencinta al-Quran.

Ibunya, Latifah Ahmad, 63, berkata, Mohd Irfan Othman, 32, sering menghabiskan masa dengan mengaji dan sudah menghafaz kitab suci itu pada usia 20 tahun.

"Alhamdulillah, syukur arwah hafaz 30 juzuk al-Quran ketika hayatnya. Dia juga menamatkan pengajian tahfiz di Darul Quran dan seterusnya menyambung peringkat ijazah di Mesir," katanya ketika ditemui di rumahnya di Batu 3/4, Jalan Kilang Padi, di sini, hari ini.

Latifah bersyukur proses pengurusan jenazah Mohd Irfan yang juga anak kelima daripada enam beradik berjalan lancar.

"Mohd Irfan anak yang baik dan mempunyai ramai kenalan. Saya terkejut terlalu ramai yang hadir untuk solat jenazah dan majlis pengebumiannya.

"Arwah sudah berkahwin pada Disember lalu dan dia biasanya bergilir-gilir tidur di rumah saya dan ibu mentuanya.

"Sebagai ibu, kehilangannya cukup dirasai, namun saya reda kerana Allah SWT lebih menyayanginya," katanya.

Sementara itu, abang Mohd Irfan, Mohd Zidni Ilman Othman, 47, berkata, dia menerima panggilan telefon memaklumkan kejadian menimpa adiknya pada 5 petang.

"Luluh hati sebaik mendapat tahu arwah sudah meninggal dunia. Saya sedih kerana dia seorang yang baik hati dan selalu mengambil berat hal keluarga terutama ibu dan ayah.

"Kali terakhir kami berjumpa pada Khamis lalu ketika saya sekeluarga pulang ke kampung," katanya.

Jenazah Mohd Irfan dikebumikan di Tanah perkuburan Islam Masjid Baroh, di sini.

Dalam kemalangan 4.15 petang semalam, motosikal ditunggang Mohd Irfan merempuh belakang treler dan menyebabkan dia parah sebelum meninggal dunia.

Berita berkaitan

Imam maut kemalangan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2022 @ 7:26 PM